
![]()
8 Okt 2009
![]()
SINGAPURA
![]()
MASJID KAMPONG SIGLAP TERBAKAR
Remaja didakwa sebabkan kebakaran
![]()
Oleh
Hisham Hasim Dan Shamsul Jangarodin
REMAJA lelaki yang dikatakan menyebabkan kebakaran besar di Masjid Kampong Siglap hingga mengakibatkan kerugian lebih $1 juta telah didakwa di Mahkamah Juvenil pagi semalam.
Remaja berusia 14 tahun itu dituduh berkelakuan nakal sekitar 1.15 petang kelmarin dengan menyalakan api menggunakan pemetik api dan berniat melakukan kerosakan pada hartanah.
Remaja itu bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan.
Ibu bapa remaja tersebut berada di mahkamah semasa perbicaraan semalam.
Pendakwa polis telah meminta agar remaja itu ditahan di Singapore Boys’ Home bagi menjalani penilaian psikiatri.
Ketika ditanya Hakim Daerah Lim Keng Yeow jika mereka ada apa-apa untuk dinyatakan, ibu bapa remaja tersebut memilih untuk berdiam diri.
Kes remaja itu akan didengar lagi pada 14 Oktober.
Jika sabit kesalahan, remaja itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.
Kebakaran sekitar 2 petang kelmarin telah memusnahkan sebahagian dewan solat di tingkat satu dan dua masjid itu, antara masjid tertua di Singapura.
Api dipercayai bermula daripada rak-rak buku dalam dewan solat di tingkat dua masjid.
Semasa kejadian, terdapat sekitar 30 jemaah di dewan solat dan 120 murid prasekolah di bangunan Darul Quran Singapura dan kesemua mereka sempat melarikan diri.
Tiada kecederaan dilaporkan kecuali seorang jemaah, Haji Gunawan Ali, yang cedera setelah terjatuh dan telah diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Besar Changi (CGH).
Semalam, Berita Harian telah ke masjid tersebut untuk melihat setakat mana kerosakan di tapak kebakaran itu.
Hampir keseluruhan bumbung dewan solat masjid itu telah roboh, menyebabkan sebahagian besar dewan solatnya kini melopong.
Kepingan jubin dan struktur kayu daripada bumbung masjid berselerakan di lantai.
Selain itu beberapa bahan bacaan hangus terbakar. Beberapa naskhah Al-Quran turut terbakar.
Turut dibaham api ialah wayar dan kelengkapan elektrik seperti kipas angin, lampu, jam dan sistem bunyi yang cair di serata dewan solat tingkat satu dan dua masjid tersebut.
Menurut Ketua Pentadbir dan Operasi serta Pengurus Mutu Khidmat Masjid Kampong Siglap, Encik Eznillah Razali, kerja-kerja pembaikan semula akan dilakukan secepat mungkin dan dianggarkan memakan masa sembilan bulan.
Dua jurunilai daripada McLarens Young International juga sedang giat menjalankan penilaian dan mengambil gambar kemusnahan semalam.
Menurut Encik Mustapha Kamal, wakil insurans NTUC Income bagi masjid tersebut, anggaran penilaian kerosakan itu akan disiapkan dalam tempoh seminggu.
Beliau mengatakan bahawa Masjid Kampong Siglap mempunyai perlindungan insurans kebakaran yang lengkap.
(Dipetik dari lelaman www.cyberita.com )
Kongsi perasaan dan pandangan kamu terhadap kejadian tersebut. Tulis di pos baru di sesawang peribadi kamu.







